• Menentang Cinta Taj Mahal

YB MENTERI PENDIDIKAN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN NI DAH GILA KE?

 

OLEH ZF ZAMIR

mahadzir-cikgu

 

 

 

SAYA membaca jawapan YB Menteri Pendidikan No.1 (26.10.2015) terhadap soalan Tuan Haji Mohd Fasiah bin Haji Mohd Fakeh, Ahli Parlimen Sabak Bernam yang meminta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan langkah Kerajaan bagi mengurangkan bebanan kerja luar hakiki bagi lebih 500,000 guru supaya tugasan hakiki sebagai pendidik tidak terjejas; dengan rasa takjub dan hairan.

Pertamanya saya berasa takjub dengan dapatan kajian KPM tahun 2015 berkaitan beban tugas guru, yang  mendapati purata masa tugas guru dalam seminggu adalah konsisten iaitu antara 56  jam hingga 66 jam seminggu.

56 jam seminggu bersamaan 11.2 jam sehari (jika guru bekerja 5 hari), manakala 66 jam seminggu pula bermakna guru di negara kita bekerja 13.2 jam sehari (juga jika guru bekerja 5 hari seminggu – sekolah di negara ini dibuka hanya dari Isnin hingga Jumaat).

Apalah sangat kerja 11.2 jam, atau 13.2 jam sehari jika nak dibandingkan dengan pekerjaan lain? Tetapi YB Menteri tidak menjawab dengan jujur, daripada 11.2 jam hingga kepada 13.2 jam itu, berapa jam-kah sebenarnya digunakan oleh guru untuk mengajar?

Bayangkan, jika diambil purata waktu mengajar guru seminggu sebanyak 30 waktu (waktu maksimum di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2007), didarabkan dengan 35 minit (waktu purata untuk 1 waktu), jumlah mengajar guru untuk seminggu hanyalah 1050 minit, bersamaan 17.5 jam seminggu atau untuk satu hari hanyalah 3.5 jam.

Ini bermakna, realitinya guru bekerja selama 13.2 jam sehari tetapi hanya mengajar sebanyak 3.5 jam sahaja? Ke manakah perginya lebihan beban kerja sebanyak 9.7 jam itu? Bagaimanakah YB Menteri Pendidikan dengan begitu tenang menjawab dapatan kajian mengenai beban tugas guru (yang selama ini telah pun dijalankan oleh KPM sejak 1980-an sehingga tahun 2006, 2010, 2012, 2015, Inisiatif dalam NBOS ke-8 serta Laporan Kebangsaan Pemeriksaan Sekolah  2015) dengan membentangkan dapatan dan mengedarkannya kepada pihak media tanpa rasa bersalah?

Kedua, saya berasa hairan dengan jawapan YB Menteri Pendidikan seterusnya yang membentangkan 5 langkah penyelesaian dengan hanya memberi jawapan umum – tanpa sedikitpun penerangan konstruktif yang boleh dipercayai.

Mari kita lihat satu-persatu langkah penyelesaian yang diberikan oleh YB Menteri Pendidikan ini. Pertama, YB Menteri Pendidikan menjawab mahu memastikan pengurusan di peringkat kementerian, negeri, daerah dan sekolah memahami dan mematuhi semua pekeliling serta surat siaran berkaitan yang sedang berkuatkuasa. Bagaimanakah agaknya cara atau langkah yang mahu YB jalankan untuk memastikan pihak pengurusan mematuhi pekeliling-pekeliling itu? Adakah YB akan membuang kerja Guru Besar atau Pengetua yang tidak mahu akur dengan setiap surat siaran itu? Langkah ini tidak dijelaskan dan kelihatan sangat tidak meyakinkan.

Kedua, YB Menteri Pendidikan menyatakan mahu mengurangkan amalan penyediaan sambutan yang berlebih-lebihan khususnya di peringkat sekolah sehingga menjejaskan masa pengajaran dan pembelajaran murid. Sekali lagi, bagaimanakah agaknya kementerian YB mahu melaksanakan cita-cita ini? Adakah sekali lagi, dengan mengeluarkan surat pekeliling dan surat siaran yang akhirnya, juga tidak dipatuhi oleh pihak pengurusan sekolah? Langkah ini tidak dijelaskan dan kelihatan sangat tidak meyakinkan.

Ketiga, YB Menteri Pendidikan menyatakan bahawa kepimpinan sekolah yang berkesan diperkasakan melalui program National Professional Qualification For Educational Leaders  (NPQEL). YB sudah menjawab dengan 3 langkah yang semuanya menyentuh isu kepimpinan pihak pengurusan. Apakah pihak kementerian berdepan dengan isu masalah kepimpinan di sekolah? Apakah sebenarnya yang menjadikan setiap pekeliling dan surat siaran tidak dipatuhi oleh Guru Besar dan Pengetua? Bagaimanakah agaknya kementerian YB menangani isu masalah kepimpinan ini? Adakah isu-isu seperti ini diselesaikan hanya melalui pembinaan program-program seperti NPQEL ini? Apakah dapatan dari program seperti ini? Mengapakah kementerian perlu berbelanja pula untuk program seperti ini? Langkah ini tidak dijelaskan dan kelihatan sangat tidak meyakinkan.

Keempat, YB Menteri Pendidikan menyatakan untuk memastikan pemantauan amalan melindungi masa instruksional (MMI) dilaksanakan sewajarnya. Begini sajakah jawapan YB Menteri? Apakah tindakan susulan kepada program MMI ini? Bagaimanakah reaksi kementerian YB terhadap sekolah-sekolah yang tidak melaksanakan MMI ini? Apakah dapatan terhadap program ini sejak ia dilancarkan pada 2013? Sekali lagi, langkah ini tidak dijelaskan dan kelihatan sangat tidak meyakinkan.

Kelima, YB Menteri Pendidikan menyatakan mahu pemerkasaan pengintergrasian data melalui inisiatif single sign on (SSO) yang kononnya langkah ini akan memastikan guru-guru tidak perlu menggunakan pelbagai sistem untuk merekod data. Sekali lagi tidak dinyatakan dengan jelas, bagaimanakah agaknya langkah ini mahu dijalankan (SSO Fasa 1 melibatkan 13 aplikasi iaitu Emis, eOperasi, APDM, eGTukar, eProfil, ePrestasi, eGraduan, PTM, ePangkat, ePelepasan, Tatatertib, eSPBT serta SSDM, manakala SSO Fasa 2 pula melibatkan 8 aplikasi iaitu SMPK, PAJSK, ePKM, eSarana, SPMPK, eRPI, SAPS, SPLKPM serta Pemudah)? Apakah kesemua sistem ini nantinya akan membuatkan guru-guru perlu bersengkang mata sepertimana pengalaman PBS sebelum ini? Sekali lagi, langkah ini tidak dijelaskan dan kelihatan sangat tidak meyakinkan.

Kesemua jawapan YB Menteri Pendidikan ini sebenarnya tidak menyentuh satu pun terhadap pembaikan dasar-dasar sebelum ini terutamanya pekeliling perkhidmatan berkenaan tugas guru yang merangkumi tujuh aspek utama iaitu Kurikulum (pengajaran dan pembelajaran termasuk pentaksiran); Kokurikulum (sukan dan permainan, kelab dan Persatuan serta Badan Beruniform); Pengurusan Hal Ehwal Murid (keselamatan, kebajikan, kesihatan, bina insan, sistem maklumat murid, koperasi dan lawatan); Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran serta kewangan; Pembangunan fizikal, Pembangunan staf; dan Hubungan komuniti.

Tugas hakiki guru iaitu mengajar langsung tidak mendapat perhatian YB Menteri Pendidikan, malah ayat seperti ‘guru’, ‘mengajar’ dan ‘murid’ langsung tidak menjadi aspek penting di dalam transkrip jawapan YB Menteri Pendidikan. Ini menjadikan transkrip jawapanYB  ini mengelirukan serta memecahkan lebih banyak soalan.

Apakah guru tidak lagi penting di dalam sistem yang digerakkan oleh kementerian YB?

Apakah pengajaran di dalam kelas bukan lagi keutamaan kementerian YB?

Bagaimanakah kementerian YB mengendalikan isu kepimpinan di sekolah?

Apakah dapatan jawatankuasa menangani beban guru yang dijalankan saban tahun dapat mengurangkan atau menyelesaikan isu beban guru ini?

Apakah sistem pendidikan di negara ini bergantung sepenuhnya kepada pekeliling dan surat siaran sahaja?

Bolehkah kementerian YB membentangkan data empirikal terhadap kesan pembinaan sistem-e (yang berbelas-belas itu) terhadap pengajaran & pembelajaran di dalam kelas?

Soalan-soalan seperti ini (juga ribuan soalan lain) tidak berjawab, malahan jawapan yang diberikan berbalik kepada aspek penguatkuasaan iaitu pemimpin sekolah memahami dan mematuhi pekeliling. Sedangkan pada masa yang sama, guru saban hari berdepan dengan cabaran masyarakat yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak mereka kepada sekolah.

Sudahlah tanggungjawab mendidik dibebani dengan tugas perkeranian (sehingga 73% daripada jumlah waktu bekerja), masyarakat pula memandang lekeh pekerjaan ini kerana profesion guru bukan lagi profesion yang dihormati kerana gaji guru yang dianggap lebih rendah berbanding gaji penjawat awam profesional lain seperti doktor dan peguam.

Oleh kerana guru pada zaman ini bukan lagi perlu mengajar (tugas mengajar hanya meliputi 27% daripada jumlah waktu bekerja), maka 1001 program dilaksanakan untuk memastikan mereka memenuhkan waktu bekerja dengan program tidak masuk akal misalnya program guru penyayang (yang dilancarkan pada 2012) yang memerlukan guru-guru untuk berdiri di pintu pagar pada waktu datang untuk menyambut murid hadir dengan placard ‘Terima Kasih Kerana Hadir Pada Hari Ini’ dan perlu berdiri sekali lagi pada waktu balik memegang placard ‘Terima Kasih Kerana Hadir & Jumpa Lagi Esok’.

Oleh yang berkenaan saya beranggapan, YB Menteri Pendidikan perlu menjawab soalan di dalam surat saya ini dengan penuh perhatian dengan aggapan bahawa sebagai anak muda, kami berhak menuntut jawapan yang konklusif dan konstruktif dari YB Menteri Pendidikan, bukannya jawapan am sepertimana yang diedarkan oleh kementerian YB sebelum ini.

Jika tidak saya beranggapan YB Menteri Pendidikan mahupun penulis transkrip jawapan yang diedarkan itu – tidak pernah peduli dengan nasib guru di negara ini dan memang benarlah, kementerian YB memang sudah gila. Saya akhiri dengan ucapan, YB Menteri Pendidikan; buatlah 100 Pelan Pembangunan dengan McKinsey pun, tetapi jika guru tidak menjadi keutamaan dan dihargai oleh kementerian YB, sampai tahun 3030 pun Malaysia tidak akan menjadi negara yang maju.

 

Yang menanti jawapan;
ZF Zamir
(Penulis buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang)
30 Oktober 2015.

 

 

 

 

 

 

 

Article written by

11 Responses

  1. Miszunderstood
    Miszunderstood at | | Reply

    Lagi pelik tuan bila guru-guru tidak mahu terbeban dgn tugas pentadbiran TETAPI menolak serta menentang kemasukan skim lain yang boleh menyelesaikan masalah tersebut yakni dilebihkan skim N & M. Dah berapa kali dicadangkan. Guru tak mahu, katanya menghalang kenaikan pangkat. Jadi, nak salahkan siapa ni? Dah diberi Alternatif, ditolak. Maka, terimalah akibatnya.

  2. Insan Biasa
    Insan Biasa at | | Reply

    janganlah melatah dgn tugas yang diberikan, bayangkan sekiranya anda bertugas di unit kesihatan kecemasan yang bergaji serendah 1200 sebulan yang berisiko dengan pelbagai wabak berjangkit dan sekiranya darurat diishtiharkan akibat wabak tersebut, saya pasti tiada guru yang bekerja pada masa itu, dan yg terpaksa bekerja adalah petugas kesihatan yg bergaji 1200 tadi, maaf dan apa2 pun bagi saya guru adalah yg terbaik, tanpa guru pasti pekerja kesihatan tersebut tidak boleh mendapat kerja tersebut..

  3. Cikgu
    Cikgu at | | Reply

    Kami tak kisah pun kerja 13jam. Even lebih dari tu pun dh biasa. Cuma, kami suarakan ialah 13jam sepatutnya lebih banyak digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran murid, bukannya kerja pengurusan. Anyway, artikel ni jugak mengelirukan. Kerja2 berkaitan pdp bukan setakat masa waktu guru di dalam kelas.

  4. tak mau kerja letak jawatan
    tak mau kerja letak jawatan at | | Reply

    Cikgu2 skrg ni dah bergaji besar, apa salahnya kalau buat kerja berkaitan pengurusan sama, ni dok kejar kenaikan pangkat saja, lambat naik pangkat terus call ppd jpn pandai pula buat semua tu, time nak balik cepat2 ja sign out, cuti sekolah haram tak nampak batang hidung,gaji tetap jalan, berbanding sektor awam yang lain. cuma hairan kenapa kerajaan manjakan golongan ni..sbb tu naik lemak..dah banyak sangat kerenah cikgu, letak jawatan bg je kepada yang betul2 berminat nak jadi guru.

  5. Ahmad Ahman
    Ahmad Ahman at | | Reply

    Artikel ni sengaja nak merosakkan pemikiran. Atau penulis ini yang memang dah rosak pemikiran.?

  6. Pustakawan
    Pustakawan at | | Reply

    Assalamualaikum wbt. Saya lebih melihat komen yang pertama daripada mendalami artikel yang ditulis. Oleh yang demikian, saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai kemasukkan skim lain ke sekolah iaitu bagi membantu meringankan beban tugas guru. Contohnya mengenai Guru Media dan Perpustakaan (GPM) yang mana merupakan jawatan yang dipegang oleh guru biasa yang bukan berlatar belakangkan pendidikan sains perpustakaan. GPM ini kebanyakkan adalah guru subjek ada kalanya pusat sumber sekolah terabai. Melainkan di MRSM yang mana Guru Media mereka adalah berlatar belakangkan pendidikan sains perpustakaan dan jiwa mereka lebih kepada pusat sumber sekolah. Jadi pihak KPM perlu melihat akan perkara ini dengan lebih serius di mana di Malaysia kita mempunyai fakulti yang menyediakan pendidikan dalam bidang pengurusan pusat sumber di UiTM iaitu di Fakulti Pengurusan Maklumat. Jadi adalah lebih baik diberikan peluang atau jalan bagi membuka kepada skim lain bagi membantu memajukan sistem pendidikan di sekolah.

    Saya merasa sangat sedih bila melihat pusat sumber sekolah hanya dijadikan tempat untuk pelajar-pelajar berehat ketika senggang kelas atau selepas subjek pendidikan jasmani. Itu perkara nyata yang berlaku. Tapi yang paling menyedihkan bila mana pusat sumber sekolah ditutup ketika GPM mempunyai kelas untuk subjek hakikinya. Ini bermaksud yang pusat sumber sekolah tidak digunakan sebagai salah satu tempat yang membuka peluang pendidikan kepada para pelajar. Tambahan lagi kebanyakkan pusat sumber sekolah kerap kali mendapat peruntukkan yang sedikit. Untuk sesebuah negara maju, pusat sumber sekolah merupakan agen pembangunan pendidikan dan merupakan sesuatu yang penting seperti kita melihat perpustakaan akademik di universiti.

    Maaf. Saya sekadar mengambil peluang menyampaikan pendapat di sebalik isu yang sedang hangat ini. Jika di sekolah, kaunselor itu adalah penting, begitu juga dengan pustakawan atau guru media profesional perlu diwujudkan di sekolah. Mungkin fakta yang saya nyatakan tiada sokongan tambahan atau literatur, mungkin penulis artikel Zulfikri Zamir boleh terangkan lagi dalam artikel-artikelnya nanti. Itupun jika beliau bersetuju. Yang pasti, perpustakaan dan buku itu adalah penting dalam membina jasad anak-anak masa depan.

    1. MD
      MD at | | Reply

      Saya setuju….Ni pun masih pening utk plan tahun 2016.
      Saya guru BI dengan 3 kelas= 30 waktu seminggu tak termasuk 4-6 waktu lain utk koko ,perhimpunan, tugas2 lain…
      Diminta utk menjadi guru PSS yg mana sepatutnya hanya libatkan masa 12 waktu shj…tak pasti bagaimana saya nak agihkan masa pdp dan utk urusan PSS tahun depan….tahun ni pun masih pening…hehehe

      -baru 12 tahun mengajar

  7. As
    As at | | Reply

    Wahai orang yg di luar sekolah.. kami guru suka nak mengajar, sbb tu sekolah tetap ada je pelajar walaupun waktu cuti. Tapi kami perlu buat persediaan secukupnya nak mengajar. Bukan masuk kelas, mengajar, tanpa ada perancangan. Kami sepatutnya sedia alat bantu mengajar, power point, supaya apa yg kami sampaikan benar2 berkesan. Tapi, yg berlaku,masa tidak dalam kelas banyak digunakan untuk urusan2 pengkeranian, dokumentasi… bla bla…yg tak berkaitan untuk bg anak2 tuan puan cerdik.. tp untuk lengkapkan fail2 utk dipantau orang2 atasan. Sebab itu, Malaysia makin jatuh dalam penilaian peringkat antarabangsa… yg kesian anak2 tuan puan dan anak2 saya jg. Kami hanya nak minta..tugas2 yg bolèh dibuat oleh pekerja bukan guru… biarlah mereka buat. Lantik pembantu guru spt yg dicadangkan. Bg pembantu guru buat urusan2 ini…contoh, data guru, kedatangan pelajar, bayaran yuran, pss, daftar pelajar exam, buat susunan pelajar exam, masuk markah pelajar, print analisa peperiksaan, print slip exam….buat sijil…call ibubapa pelajar yg selalu tak hadir…byk lg tu… kerja2 mcm ni, lèpasan SPM ambil kontrak pun dah ok. Kami nak fokus kpd pengajaran dan urusan2 berkaitan, termasuk sedia modul pembelajaràn, soalan exam, analisa kelemahan pelajar dan buat pemulihan..sedia alat bantu yang memudahkan pelajar faham, sedia powerpoint dan video audio yang sesuai dengan tahap pelajar… byk lagi tu. Apakah anda merasa kami dapat mendidik anak2 anda dengan sempurna, dengan bebanan kerja yg kami terima hari ini. Kasihanilah anak2 anda…bukan kami…kerana kami tetap akan terus bekerja… tetapi anak2 yg akan jd mangsa.

  8. abdul zul afif
    abdul zul afif at | | Reply

    segelintir yg melatah komen zamir ini masih tdk.paham.konsep keterbukaan dan ketelusan yg sepatutnye kita berhak dpt dmana2. masing2 mahukan kesempurnaan dlm sesuatu..mahukan yg terbaik.kl dgn jaeab bls kmenterian dh nmpk mslh..tggungjawab kt adlh menegur..menteri x.semstinya pandai..kdg2 agak buta utk.melihat sesuatu yg rasional.

  9. abdul zul afif
    abdul zul afif at | | Reply

    segelintir yg melatah komen zamir ini masih tdk.paham.konsep keterbukaan dan ketelusan yg sepatutnye kita berhak dpt dmana2. masing2 mahukan kesempurnaan dlm sesuatu..mahukan yg terbaik.kl dgn jaeab bls kmenterian dh nmpk mslh..tggungjawab kt adlh menegur..menteri x.semstinya pandai..kdg2 agak buta utk.melihat sesuatu yg rasional.

  10. amir
    amir at | | Reply

    Dah elok-elok ada pembantu guru nbos,di tamatkan kontrak.Pembantu guru nbos ni adalah cara yang terbaik untuk mengurangkan bebanan guru-guru.saya memohon agar pihak kementerian pendidikan agar menyambung semula kontrak pembantu guru nbos ini..

Please comment with your real name using good manners.

Leave a Reply

Visit Us On FacebookVisit Us On TwitterVisit Us On Google Plus