• Menentang Cinta Taj Mahal

Bolehkah Kita ‘Bailout’ Anak-anak ‘Terbuang’? 

(Meneliti pengalaman TFTN)
Oleh ZF Zamir

  

anak-miskin

*Kertas Kerja ini telah disampaikan di Seminar Moderat Perdana: Mentaliti Kelas Pertama di PPAS, Shah Alam pada 29 Ogos 2015. 

“Kalau sekolah tinggi hanya menghasilkan bangsat-bangsat saja, ya, akan runtuhlah manusia ini,” Pramoedya Ananta Toer, Mereka Yang Dilumpuhkan.

REFORMASI PENDIDIKAN?
Pertama, perkataan Reformasi sudah lama mati, dahulu.
Kedua, Pendidikan bukanlah semata-mata kepunyaan Kementerian. Kita semua ada hak, ada urusan dengan perkataan Pendidikan ini.

Dalam konteks yang semakin menekan ini, di mana kolej-kolej semakin dikuasai ideologi konservatif, bergantung kepada metod, menjadi hamba kepada politik kuasa malah dipandu oleh kaum pentadbiran yang tidak punya visi besar terhadap pendidikan yang sepatutnya berfungsi sebagai daya untuk memperkuat imaginasi ruang demokrasi awam; satu-satunya harapan yang kita masih ada ialah dengan melihat semula pedagogi kritis – model yang membolehkan pendidikan dan anak muda untuk menyertai dan mengembangkan kebertanggungjawaban diri untuk menyertai teori-teori pendidikan dan praktisnya.

Henry Giroux dalam makalahnya Rethinking Education as Practice of Freedom menekankan contoh-contoh Paulo Freire lebih penting untuk masa kini kerana meningkatnya jumlah institusi pendidikan tinggi yang ditawan oleh kuasa neoliberal dan konservatif. Adalah penting menurutnya kaum pendidik mengiktiraf pemahaman Freire terhadap meningkatkan potensi demokratik dalam pendidikan. Beliau menulis;

As the market driven logic of neoliberal capitalism continues to devalue all aspects of the public interest, one consequence is that the educational concern with excellence has been removed from matters of equity, while higher education, once conceptualized as public good, has been stripped of its collective meaning and reduced to a private good,”

 

Dilema akademik 1 hala
Malangnya sistem pendidikan di Malaysia pada masa kini berbentuk satu hala. Dengan kementerian pendidikan yang begitu besar, bertukarnya nama kementerian setiap 2 tahun, berubahnya dasar pendidikan tiap kalinya berubah menteri, anak-anak terpaksa bertahan dengan sistem yang tidak mereka pilih ini.

Langsung, mereka berdepan dengan hanya satu pilihan iaitu; sistem yang telah ditentukan dengan huru-haranya kementerian, dibantu dengan kecamuknya politik nasional serta rakusnya pemimpin yang membuat keputusan tanpa ada visi dan pandangan yang teguh untuk masa depan pendidikan nasional.

Lebih sukar, yang berdepan dengan satu-satunya pilihan ini ialah anak-anak marginal dan tersisih, yang ditindas sistem iaitu anak-anak yatim, miskin serta anak di pedalaman. Anak-anak ini malah bukan saja berdepan dengan masalah sistemik yang berlarutan sejak dari dahulu; isu ketidakcekapan guru di dalam kelas, bolak balik dan kelam kabutnya silibus yang tidak peduli dengan perubahan dunia, ketiadaan visi serta wawasan oleh pemimpin sekolah, kecelaruan pembuat dasar yang tidak faham keperluan identiti di dalam pendidikan nasional serta mundurnya pemikiran pegawai-pegawai atasan di kementerian; tetapi yang lebih bahaya ialah mendapat pendidikan formal yang sama sekali tidak bermanfaat untuk diri dan keluarga mereka di masa hadapan.

Pendidikan untuk anak-anak ini hanyalah sekolah atau kelas yang dikendalikan oleh guru yang bosan ataupun buku latihan yang tidak akan pernah siap dan tidak lebih dari itu. Pendidikan yang dihadiri mereka tiap hari di sekolah bukanlah untuk mengajarkan mereka erti hidup atau memperkaya kemahiran diri untuk masa depan. Formaliti kelas sepanjang tahun ini hanya dipenuhi untuk memenuhkan konsep pendidikan 1 hala yang dihadapkan ke hadapan muka mereka.

Mereka tidak dibenarkan memilih subjek atau perkara yang mereka mahu pelajari. Sebaliknya mereka diwajibkan mempelajari perkara-perkara pelik yang langsung sama sekali tidak berkaitan dengan sosio-ekonomi mereka berdasarkan sebuah silibus yang diciptakan oleh entah siapa-siapa beratus-ribu kilometer jauhnya di Putrajaya.

Dari isu sistemik tentang birokrasi pentadbiran serta ketiadaan visi pemimpin kementerian, kini masalah berganda dan membarah kepada falsafah serta tujuan pendidikan yang gagal dilaksanakan di peringkat bawahan. Pendidikan yang sepatutnya menjadi batu asas kepada warga miskin dan pedalaman untuk keluar dari gelung kemiskinan tidak dapat direalisasikan. Warga miskin kekal miskin serta warga pedalaman kekal berjarak dan tertinggal dari semua aspek.

 

Akademi Seni TFTN

Berdepan realiti sukarnya menangani masalah pendidikan anak-anak yatim dan miskin sejak 2012, TFTN bereksperimen dengan menubuhkan Akademi Seni TFTN yang bertujuan melatih anak-anak yatim dan miskin di bawah kendalian TFTN di dalam bidang seperti Teater, Seni Lukisan, Muzik dan juga Sastera.

Festival Teater TFTN 2014 yang diadakan di PJ Live Arts Centre (PJLA) lalu menampilkan 3 buah rumah anak yatim dari Rumah Anak Yatim Baitul Mahabbah Tanjung Malim, Rumah Anak Yatim Kasih Harmoni, Keramat serta Rumah Anak Yatim al-Khairiyah, Klang.

Pada tahun 2015 pula Akademi Seni TFTN (ASeT) secara rasminya menerbitkan sebuah teater yang diarahkan oleh Fazleena Hishamuddin bertajuk Kota Kelip-kelip yang membariskan 10 anak dari Rumah Anak Yatim Batu Pahat, Rumah Anak Yatim Darul Fuqaha Bangi serta Rumah Anak Yatim al-Khairiyah, Klang yang telah ditayangkan selama 2 malam berturut-turut di Damansara Perfoming Arts Centre (DPAC).

Seterusnya, Pameran Seni Anak TFTN dijadualkan diadakan di Balai Seni Lukis Negara pada awal Oktober 2015. Dalam teori pendidikan, usaha memperkenalkan pendidikan seni seperti Teater, Lukisan, Muzik serta Sastera ini bukanlah perkara baharu. Dalam TFTN, langkah ini diambil sebagai reaksi spontan terhadap kelas-kelas tusyen percuma yang dijalankan selama 2 tahun sebelum itu yang dilihat kurang praktikal.

Anak-anak yatim dan miskin ini sama sekali tidak dapat dibentuk melalui pembelajaran formal yang menitikberatkan pencapaian akademik menurut sistem pendidikan nasional yang ditentukan oleh jenglot-jenglot yang tidak faham falsafah pendidikan di kementerian. Lebih sukar, kerja menjalankan tusyen-tusyen percuma ini hanyalah pengulangan terbuka terhadap sistem persekolahan harian.

‘Bailout’ anak-anak ‘terpakai’?

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 24 Julai 2015 menyatakan sehingga 438 000 orang menganggur pada Mei 2015 berbanding 429 000 pada April 2015 atau 406 500 pada Mei 2014. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh menurun 0.4 mata peratus berbanding 67.9 peratus pada Mei 2014.

Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai angka kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah pada 2013 ialah sebanyak 5584 orang dengan jumlah Lelaki seramai 5254 dan Perempuan seramai 330 orang. Negeri Johor mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 805 diikuti Selangor  dengan 773 kes, Kedah 694 kes, Sabah dan Sarawak masing-masing dengan 440 dan 412 kes.

Data 2013 juga menunjukkan sebanyak 4119 kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, 635 kanak-kanak tidak terkawal serta 1048 kes orang papa dicatatkan.

Dalam makalah ‘No Bailouts For Youth’, Giroux menulis;

“Under the reign of a largely deregulated and privatized society, social problems become utterly individualized and removed from the index of public considerations. As public concern collapse into provate issue, it becomes more difficult to connect individual problems with broader social considerations,”

Isu masalah sosial yang menekan seperti krisis ekologi, peningkatan pengangguran yang tak munasabah, rumah-rumah dirobohkan, gaji yang tak pernah meningkat, isu gelandangan, masalah perkauman yang tak selesai, kemiskinan serta perang hutang yang tak pernah berlaku sebelum ini, semuanya gagal menyatukan masyarakat untuk menyusun dan bertindak dalam skala nasional. Utopia masyarakat pengguna dalam dunia penswastaan telah mengecilkan fungsi masyarakat kepada apa yang perlu sahaja berdasarkan kepada bahasa pasaran. Inilah yang menyebabkan negara akhirnya bertukar kepada ‘punishing state’ seperti mana ditulis Giroux;

“Such reductive logics make it more socially acceptable to blame the destitute, homeless, uninsured jobless, poor minority youth and other disadvantages individuals and groups for their plight, while reinforcing the merging of market state with the punishing state,”

Dalam kes anak yatim dan miskin seperti yang ditangani TFTN ini, lebih mudah untuk masyarakat menyalahkan mereka daripada mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Ini juga disinggung Giroux;

‘Unfortunately, many youth of colour in urban school systems are not just being suspended or expelled from school but also have to bear the terrible burden of being ushered into the dark precincts of juvenile justice system – a trajectory that has been described as the school-to-prison pipeline and one that mirrors the race-based discrimination characteristic of the carceral state,”

 

Memahami masa hadapan

Seni hanyalah satu cabang dari ratusan ribuan cabang-cabang pendidikan. Pada masa hadapan, globalisasi serta teknologi akan mendominasi struktur baharu ekonomi serta sosiologi manusia. Untuk itu, memahami masa hadapan serta super-struktur-nya ialah salah satu kunci untuk memahami teori yang paling baik dan praktikal untuk dilaksanakan pada masa ini.

Dalam masa beberapa tahun ke depan, TFTN akan merintis jalan mengajarkan anak yatim dan miskin ini ilmu seperti ‘programming’ dan ‘coding’ serta subjek seperti ‘digital design’. Mungkin model-model seperti Thiel Fellowship atau Breakout Labs yang membayar sejumlah wang geran kepada anak-anak yang mahu keluar dari universiti untuk menggalakkan inovasi serta semangat ‘enterpreneur’ di kalangan anak muda boleh dijadikan model contoh dalam skala kecil. Pedagogi harus dilihat dalam konteks yang lebih terbuka kerana pendidikan masa hadapan bukan lagi semata-mata untuk karier.

Dengan dunia yang semakin kecil, Elon Musk dengan SpaceX  dan Richard Branson bersama Virgin Galactic berlumba-lumba untuk menyediakan pengangkutan awam ke angkasa lepas. Dunia digital akan berubah kepada dunia penerokaan angkasa lepas. Dari robot kepada drone, pendidikan seharusnya bukan sahaja sekadar A, B, C, 1-2-3 atau kelas-kelas sepanjang tahun, tetapi lebih dari itu ialah untuk menyelesaikan krisis anak muda, menutup ruang terhadap ‘culture of fear’ serta medium untuk masyarakat bekerjasama membina semula janji-janji demokrasi.

Pengalaman TFTN menunjukkan peperangan terhadap anak-anak terutamanya yang miskin sangat menyedihkan kerana ianya dilakukan dengan begitu licik, zalim dan sombong sekali. Isunya bukanlah lagi apakah mampu kita ‘bailout’ anak-anak seperti ini ataupun reformasi pendidikan bagaimana yang harus kita jalankan.

Pendidikan itu sendiri harus punya imaginasi, visi serta harapan yang baharu. Untuk itu masyarakat harus sedar janji-janji radikal demokrasi memerlukan penelitian semula dengan lebih banyak penyertaan bersama oleh ahli masyarakat untuk menyelesaikan terus dengan tangan mereka sendiri. Kesedaran awam terhadap fungsi pendidikan haruslah bermula dengan perlawanan memerangi stereotaip ekonomi dan melawan sistem-sistem opresif yang dicipta atas alasan pasaran bebas.

Demokrasi masa hadapan harus punya lebih ruang untuk melihat semula bagaimana kita sebagai masyarakat; melihat dan mewakili anak-anak dan anak muda. Perjuangan untuk melihat, mewakili serta bagaimana kita semua melayan anak-anak dan anak muda inilah satu-satunya petunjuk kepada kita – jika kita benar-benar serius untuk berbicara perihal – Pendidikan. Bak kata Bung Pram di dalam Nyanyi Sunyi Seorang Bisu; “Apalah artinya sekolah? Yang menentukan akhir-akhirnya apa yang dapat orang sumbangkan pada masyarakatnya,”

 

Article written by

Please comment with your real name using good manners.

Leave a Reply

Visit Us On FacebookVisit Us On TwitterVisit Us On Google Plus