• Menentang Cinta Taj Mahal

Buku Pop (baca: Indie) Yang Meresahkan Orang Lambak

Mereka ini menjadi obsesif untuk menuju kepada pancasona ideal yang mereka pujai, dalam perkiraan atau atas sebab tuntutan sesuatu ideologi dan kepercayaan dan diyakini benar. Langsung mereka menjadi taksub, dan setiap segala yang tidak bersetuju dengan idealisme mereka itu, tentulah menjadi kalangan yang dianggap tiada hidayah dan tersesat siasah.

11156191_1626144767603174_3398846304540777914_n

SAYA menulis ini dengan rasa yang berat hati. Pertamanya kerana saya dari awal berasa tidak perlu respon kepada hal remeh temeh seperti ini. Keduanya saya tahu ia akan mengambil masa saya – yang sepatutnya saya perlu halakan untuk pekerjaan yang lebih baik dan produktif.

Tetapi setelah melihat perkembangan semasa terutamanya reaksi orang lambak, saya fikir saya harus keluar dan menyatakan sikap. Polemik ‘Indie tak Indie’ di negara kita ini bermusim. Kali ini ia hangat didebatkan setelah buku-buku pop (baca; Indie) dikatakan mendapat sambutan luar biasa pembaca tempatan. Apa pun saya gembira ‘scene’ penerbitan alternatif ini mendapat perhatian. Paling tidak kita boleh tahu, ada orang yang kurang senang dan terganggu dengan buku-buku yang terbit selama ini. Paling kurang buku-buku ini memberi kesan kepada masyarakat.

Mereka mahu merubah dan menukar dunia nyata dan yang sedia ada ini, dengan menganjurkan kepada model yang seakan negeri entah-berantah yang ngeri untuk diimaginasi, yang seringkali juga mereka tidak memahami sebab musabab dan cara perjalananya sesuatu negara dan masyarakat di zaman ini.  Kesamaran dan ketidakberesan pikiran mereka sama menebalnya dengan kerasukan mereka menuju utopia ini, baik dalam bentuk sebuah bentuk negara, institusi perundangan dan pentadbiran, pendidikan dan keilmuan, sehinggalah kepada sistem perekonomian dan jenis mata wang yang harus dipakai.

Apa pun, saya tidak akan terikut-ikut untuk menyanggah menggunakan bahasa atau budaya tinggi yang tak tercapai oleh masyarakat umum. Tempelan-tempelan nama filsuf atau pun tokoh zaman 1400 boleh saja saya hiaskan di mana-mana, tetapi persoalannya tetap sama; apa kesannya kepada pembaca?

Adakah kesannya agar saya nanti akan dinilai sebagai intelektual? Cendekiawan mahupun sang pemikir besar? Saya tidak mahukan semua gelaran itu. Yang saya mahukan hanyalah kebenaran yang disampaikan dengan niat dan cara yang betul.

Malangnya saya fikir tujuan tulisan Wan Ahmad Fahysal di dalam tulisannya ‘PESTA PENERBIT BUKU: BUDAYA TINGGI ATAU BUDAYA LAMBAK?’ iaitu untuk mengkritik hala tuju penerbitan pop (baca; Indie) telah tersasar sama sekali sama ada dari sudut kritikan mahupun ‘counter offer’.

Yang penting dunia dosaan ini, dengan segala model yang sedia terpakai, harus diganti.  Tentu saja sistem yang berlangsungsan hari ini tidaklah sempurna dan seterbaik berjalan. Tetapi saranan yang dianjur dan diidealkan golongan upotis ini sudah cukup ditandai dengan kecelaruan dan kekalutan. Seolah-olah mereka mahu mulakan sesuatu yang segalanya baru atas nama mematuhi perintah yang telah diamanahkan kepada mereka. Anehnya mereka yang mahu mencipta yang baru ini, bertolak dari andaian sejarah yang romantis dan distortif. Model kuno yang telah berlalu, dan tidaklah wujud sebagaimana yang mereka bayangkan,  mahu dijadikan model tetap dan abadi kepada semua, walaupun mereka mendabik dada tiada paksaan dalam hidup yang beradab.

 

Saudara semua, budaya pop (baca; Indie) bukan budaya baharu. Budaya ini telah wujud sebelum perang dunia kedua. Seperti mana ‘hipster’, ia bukan wujud sejak 2013 pabila Wak Doyok main Instagram. Walter Benjamin dengan Theodor Adorno dah lama bincang tentang budaya popular ini sejak zaman depa Mazhab Frankfurt lagi. Jadi perbincangan budaya popular ini telah lama berlangsung, janganlah kita buat terkejut beruk macam benda ni baru berlaku semalam.

Budaya popular pula ialah kerangka besar, di dalamnya wujud sub-budaya seperti budaya Indie. Dalam sub-budaya Indie pula wujud lagi partikel kecil sub-budaya yang lain seperti penerbit Indie. Salah satu contoh budaya popular yang sedang memeluk kita sekarang ialah budaya Ustaz Ustazah nak masuk pertandingan macam Mahajara Lawak. Ini kita belum masuk bab muzik seperti band-band underground dan punk.

Maka, bila kita semberono dan cuai memetik penerbit buku pop (baca; Indie), yang perlu kita fahami ialah latar belakang kepada sub-budaya yang timbul ini. Kenapa ia timbul? Dari mana ia datang? Mengapa ia berlaku? Kenapa tiba-tiba sekarang ini anak muda tergila-gilakan buku pop (baca; Indie) ini? Mengapa zaman Tun Mahathir dulu tak macam ni? Kenapa anak muda dah tak minat baca kitab? Mana pergi DBP?

Semua soalan ini harus jadi latar belakang  perbincangan. Seterusnya untuk memahami isu ini dengan lebih dalam kita harus bersikap adil dengan menganalisis pula norma dan budaya masyarakat kita terhadap budaya membaca. Apakah rakyat kita suka membaca? Berapa buah buku-kah yang kita beli setahun? Apakah bahan bacaan yang diajarkan oleh guru di dalam kelas? Adakah universiti kita menggalakkan bahan bacaan sastera? Apakah peranan keluarga terhadap budaya membaca? Adakah agama memberi kesan terhadap institusi buku?

Kemudian setelah melakukan analisis, yang paling penting adalah untuk melihat dengan mata kita sendiri ‘scene’ alternatif dalam industri buku ini. Mengapa acara seperti KL Alternative Bookfest dijalankan? Siapakah yang hadiri Johor Bharu Writers & Readers Festival? Siapakah penerbit yang sertai acara seperti Pekan Frinjan ataupun Boco? Siapakah di belakang pengusaha Alor Star Literary Festival? Di kilang manakah penerbit independen ini mencetak buku-buku mereka? Bagaimanakah mereka mengedarkannya ke kedai-kedai? Berapa jumlah cetakan? Berapa jumlah edaran?

Namun dari galak mereka berbicara, terbit pula sikap dan bahasa memaksa kerana mereka tegas beryakin menjadi pemilik kebenaran yang mutlak. Lantas dengan angkuh mengklaim gagasan mereka itu sesuai sepanjang zaman dan tempat. Realitas di depan mereka, yang sangat menggigit dan terhempit,  tidak bernafsu mereka merungkai dan memperbaiki, melainkan galak mengusung keutopiaan mereka sebagai satu-satunya jalan keluar, sedangkan kita semua ini yang tidak bersama mereka, adalah golongan daif yang terkeluar dari jalan yang mereka yakini. Lain perkataan, tujuan mereka yang tidak membumi ini dijadikan model sakral yang abadi. 

 Kemudian barulah kita akan faham budaya buku pop (baca; Indie) serta kesan ‘counter-culture’ mereka kepada masyarakat khususnya anak muda. Malangnya, persoalan tentang apakah Indie, siapakah Indie ataupun penerbit yang bagaimana-kah Indie itu langsung tidak dinyatakan oleh Wan Ahmad Fahysal. Jadi sebenarnya sekarang kita sendiri tertanya-tanya, apakah yang Indie sebenarnya?

Menurut saya penerbit yang kekal Indie kini hanyalah Sindiket Soljah kerna tidak menggunakan ISBN. Kalau buku dah ada ISBN, masuk Kinokuniya, terbit jadi bestseller sampai edaran cecah 30,000, Indie ke-jadah apa nya? Kemudian setahu saya, Indie ni mana pernah isytihar diri depa Indie. Zaman Bohemian dulu kaum jurnalis (penduduk luar) ni tulis pasal orang Indie dan Hipster ni sebab nak laporkan tentang budaya hidup depa yang pelik. Kalau tuan punya badan dan isytihar depa Indie, Indie ke jadah apanya ni?

Gerombolan minda seperti ini berlagak sok tahu, berjubah sebagai pendeta dan peneroka, tetapi bacaan dan kupasan mereka tidak sampai selambaran dua. Takrifan dan tafsiran mereka lopong tapi sering disembunyikan dalam lafaz agung yang memukau dan melampau.  Mereka berlagak menjadi ahli itu dan ini, tetapi perancangan dan etos kerja sangat bersifat membuta tuli. Sembrono dan asal-boleh itulah yang sebenarnya mereka anuti dan amali.

 Kemudian Wan Ahmad Fahysal di dalam komen Facebook-nya bertanya tentang hala tuju penerbitan Indie. Mengucap panjang saya baca. Indie ni bukan persatuan kampung mahupun organisasi belia macam 4B yang ada misi visi dan logo tampal atas dahi. Apa Indie-nya  kalau dah ada hala tuju? Sebab itu saya kecewa soalan seperti ini dilontarkan oleh seorang failasuf dan ilmuan tinggi seperti beliau. Beliau bukan sahaja tersalah soalan, malah beliau tidak melakukan kajian trend serta tidak megambil tahu langsung apa-apa tentang budaya popular (baca; konon Indie) sama sekali.

Menurut saya ini bukan lagi dialektik. Ini dialektif negatif yang datang daripada ‘one dimensional man’. Hujah beliau semuanya falasi sebab gunapakai hujah ‘straw man’. Satu-satunya sebab saya lihat beliau tersalah analisis seperti ini ialah kerana beliau terperangkap dengan teori label-melabel. Kritik beliau seharusnya kepada budaya pop (baca: Indie), bukan kepada penerbit buku popular. Dialektika makanan sihat makanan tak sihat terbatal sepenuhnya kerana beliau sendiri tak pernah masuk dan membaca seluruh genre yang ada di setiap sudut penerbit alternatif ini. Kerja borong seperti ini menurut saya ialah satu pengkhianatan intelektual.  Indie ni singkatan kepada perkataan ‘Independant’ atau bebas. Ada antara rumah penerbitan yang dilabel Indie ni saya dengar dah dapat geran kerajaan. Indie apa pakai geran? Kot ye nak taram pasal Indie pun, buatlah kerja rumah sikit.

Kritik budaya popular (baca; Indie) tak seharusnya terbatas kepada Pesta Buku sahaja. Kenapa tak kritik Maharaja Lawak? Kenapa tak kritik program-program agama yang menjual nama Ustaz Ustazah? Atau, kenapa tak kritik penulis buku agama yang gagal tarik minat orang untuk membaca? Atau kritik buku-buku agama yang dijual mencecah harga RM 200? Siapa nak kritik DBP yang ada macam tak ada? Siapa nak kritik budaya rendah kaum akademik di universiti?

Oh maafkan, saya terlupa. Kapitalis mana depa berani kritik. Penerbit alternatif ni pemain kecil. Jadi boleh lah kita semua kritik.

Perlu diingatkan manusia lambak bukan dimaksudkan sebagai rakyat jelata atau orang banyak. Ia adalah konsep untuk menjelaskan jenis manusia dan pikiran, nilai dan psikologinya yang merapuh dan menceroboh, yang bisa saja hadir dalam benak pikiran sama ada di kalangan elit atau orang biasa.

p/s: semua petikan di dalam tulisan ini ialah Prakata dari buku Utopia Masyarakat Lambak karangan Dr Azhar Ibrahim terbitan Thukul Cetak (April 2014).

<photo id=”1″ />

Article written by

Please comment with your real name using good manners.

Leave a Reply

Visit Us On FacebookVisit Us On TwitterVisit Us On Google Plus