• Menentang Cinta Taj Mahal

Berlari Dari Jogja; Nak Ke Mana?

(di sebalik buku Berlari Dari Jogja Untuk Menemukan Si Dia Di Christiana; Catatan-catatan Perjalanan ZF Zamir)

Untitled7777777

 

(i)

Dalam sebuah filem bertajuk ‘Children of Men’ yang diterbitkan pada 2006, Clive Owen memegang watak Theo Faron, bekas aktivis yang kini ‘archetypal everyman’, sang putus asa yang hilang harapan untuk membantu orang lain kerana kematian anaknya akibat pandemik flu. Dunia sedang mengalami ketidaksuburan masuk tahun ke-18. Tidak ada bayi baharu dilahirkan sepanjang 18 tahun ini, manakala Britain pula ialah satu-satunya negara yang masih mempunyai kerajaan yang berfungsi di dunia, kini menjadi destinasi baharu kaum pelarian. Filem ini mengisahkan mengenai kehancuran umat manusia pada tahun 2027.

Ketika diminta untuk menyiapkan segera catatan-catatan ini, yang benarnya aku buntu. Buntu kerana separuh dari catatan-catatan ini aku sudahkan dalam bentuk yang sangat intim dan rapat. Walaubagaimanapun aku fikir separuh dari diriku sudah tidak lagi gemar akan teknik yang intim yang melemaskan itu. Bukan sahaja diri aku sudah berubah (walau belum sepenuhnya), jiwa aku malah berontak akan gaya dan cara aku menyudahkan catatan-catatan tersebut sebelum ini.

Kalau kau pernah dengar orang menuduh Bjork itu sebenarnya adalah alien yang turun untuk menyesatkan manusia dan menghancurkan seluruhnya kecantikan dan keharmonian muzik dengan segala macam eksperimen dan idiosinkratiknya, kau akan faham apa perasaan aku. Lebih malang, perjalanan aku ke Reykjavik gagal terus berkat mahalnya tambang musim sejuk yang lalu.

Lalu, perjalanan itu tersangkut di hujungnya di Stockholm. Dari Bale-Mulhouse-Freiburg, aku termangu di Hamburg sendirian, tersadai di Copenhagen malah hampir putus asa di Stockholm. Paling sukar ialah mengetahui bahawa hidup kau yang lalui tiap hari kadangnya tanpa tujuan yang jelas.

Tanpa Reykjavik, aku hilang arah tuju.

Hilang arah tuju bermakna, hilang arah. Hilang arah bermakna, hilang punca untuk aku terus menulis. Maka akhirnya aku putuskan untuk berhenti menulis travelog, dan menyiapkan catatan-catatan kecil perjalanan yang sudah aku siapkan sebelum ini.

Asalnya catatan-catatan ini pun aku sudahkan kerana tidak mahu sebahagian perjalanan yang aku buat itu hilang dan lenyap (bukan di dalam ingatan) begitu saja. Walau masih (banyak) perjalanan yang belum aku sudahkan catatan-nya,  catatan-catatan yang aku sudah usahakan – cuba aku susun dalam bentuk paling minimal dan ringkas.

Apakah catatan-catatan ini penting? Sudah tentu tidak. Lebih-lebih lagi 3 per 4 perjalanan ini aku lakukan secara berseorangan. Dan memang aku sendiri tidak punya jawapan tatkala ditanya ramai orang tentang – mengapa melakukan perjalanan ini secara berseorangan?

Aku fikir sejak Andy Warhol memperkenalkan ‘popism’, manusia bohemian lebih gemar menjadi ‘mad men’ dalam usaha mereka untuk mencari ‘free souls’. Kaum ini lebih gemarkan ‘hitchike’. Mereka pilih ‘backpack’ berbanding beg troli, serta menolak untuk tidur di dalam hotel mewah.

Jadi untuk aku, soalan yang paling membosankan di dalam dunia ini ialah pabila terdapatnya kaum-kaum yang menyoal mengapa kau mengembara berseorangan? Ya Tuhan, telah engkau siapkan aku dunia yang indah ini untuk aku terokai, tetapi mengapa kau hadapkan aku dengan kaum manusia yang tidak tahu menilai erti perjalanan dan erti pengembaraan di dalam dunia yang fana ini?

Mungkin, aku bukanlah pengembara ekstrem yang mengayuh basikal dari Eropah, atau ‘backpackers’ sejati yang kerjanya mengembara sepanjang tahun. Paling tidak di dalam setiap pengembaraan kecil itu, aku cuba untuk mencari diri-ku sendiri.

Dan kerna itulah aku fikir, catatan-catatan yang aku tuliskan ini tidak penting. Kerna pengembaraan mencari diri sendiri itu pasti – akan berbeza – tiap satunya antara manusia. Tetapi paling tidak aku fikir bahawa, setiap orang berupaya untuk melakukan perjalanan-perjalanan mereka sendiri. Dan di dalam setiap perjalanan itu – yang mereka temukan itulah – yang paling penting untuk difikirkan dan dijadikan pegangan ataupun sempadan.

Dalam Children of Men, Theo akhirnya membantu Kee, perempuan terakhir yang mengandung untuk melepaskan diri dan menyertai ‘Human Project’, kumpulan saintis yang sedang berusaha menyelesaikan masalah ketidaksuburan manusia. Kee berjaya melahirkan seorang anak perempuan dan Theo akhirnya mati dalam perjalanan menghantar Kee ke kapal ‘Tomorrow’ milik Human Project.

Distopia.

Itulah yang aku temui banyak sekali – di dalam setiap perjalanan-perjalanan aku. Kemanusiaan itu letak duduknya lebih rendah dari anjing. Dan ah, tatkala aku sedang menulis ini, gempa bumi di Nepal, gunung berapi di Chile. Virus Ebola di Afrika entah semakin merebak. Masharakat kita berantakan. Makanan berlebihan. Orang kelaparan. Hidup sepertinya mati. Nyawa bagaikan bangkai. Perang-perang yang mencetuskan pelarian. Pelarian-pelarian yang mencetuskan perang.

Lalu apakah kita punya harapan? Untuk bina masharakat baru?

Kawan, tujuan aku berjalan ialah untuk melihat dunia. Dan dunia yang aku lihat itu, musnah dan punah akibat sejarah. Dunia, kawan, sudah gila. Utopia yang kau cari itu, bukan di sini. Sini ialah daerah orang kecil, bak kata Kurt Vonnegut di dalam Mother Night;  “We are what we pretend to be, so we must be careful about what we pretend to be.”

I am leaving this harbour
Giving urban a farewell
Its habitants seem to keen on God
I cannot stomach their rights and wrongs
I have lost my origin
And I don’t want to find it again
Whether sailing into nature’s laws
And be held by ocean’s paws
– Bjork, Wanderlust

 

(ii)

Dalam filem The Machinist yang diterbitkan pada tahun 2004, Christian Bale yang memegang watak Trevor Reznik melakonkan watak seorang ‘machinist’ – ‘sleepless factory worker’ yang insomnia selama setahun. Setelah mengakibatkan rakan sekerjanya, Miller kehilangan tangan kiri akibat kecuaiannya, Trevor mula saspek rakan sekerjanya bekerjasama untuk mempermainkannya dengan meninggalkan mesej-mesej ‘cryptic’ di pintu peti ais di flatnya.

Apakah yang terjadi kepada Trevor? Trevor menjadi mangsa kepada ‘guilt-induced-schizophrenia’, psikosis, halusinasi auditori dan visual, ‘delusional paranoia’, ‘bipolar disorder’; semuanya ini kerana Ivan.

Salah satu momen yang masih aku kenang keras sehingga hari ini ialah tatkala menunggu Perempuan Ais turun dari lapangan terbang Skavsta menuju ke Stockholm. Ketika itu aku sudah sampai di Stockholm Centralstation, dan jarak hotel-bot kami hanyalah 3km. Kemudian perlahan, stesen itu ditutup untuk awam. Jam mungkin menginjak 11.30 malam. Aku terpaksa mencari jalan keluar dari stesen dengan backpack bersaiz penuh di belakang. Dalam kesejukan, aku menyandar di dinding memerhati kelamnya malam di kota ini.

Seorang lelaki melepasi aku, berhenti tepat di hadapan aku yang masih duduk menyandar, dan kemudiannya berlalu pergi. Pemergiannya menyebabkan aku sedar, aku bersendirian di bahagian atas stesen ini. Kemudiannya setitik ais jatuh di atas seluarku. Setitik lagi jatuh di atas kasutku pula.  Belum sempat aku mengangkat kepala, ketulan kecil ais jatuh memenuhi seluruh badanku kini.

Ketika mengangkat muka memandang ke atas, ketulan-ketulan ais ini jatuh perlahan dan hinggap tepat di atas mukaku. Aku bangun, membuka sarungan tangan dan mencabut ‘snow cap’ sebelum mula menari menyanyikan lagi Damien ini;

Long way out to the end
Long way to go to lose your friends
It’s a long way to haul all the traps you’ve trawled
When you could just stop and let go

***

Untuk mengembara, ramai orang memperkirakan berapa lama masanya untuk keluar, kapan waktunya perlu pulang, tidurnya di mana, apa yang perlu dibawa pulang, bagaimana hadiahnya untuk orang di rumah, berapa banyak duit yang diperlukan, mahal tiketnya berapa, blablabla.

Sedangkan tidak ramai orang memperkirakan, keluar mengembara itu untuk apa? Mengapa perlunya pulang? Apa salahnya tiada tempat untuk tidur? Atau bagaimana pengalaman itu lebih berharga daripada seluruh kertas-kertas wang yang boleh dibawanya? Tahukah kita bahawa terdapatnya bahagian bumi seperti di Marikh di Antartika? Pernahkah kita terfikir untuk tidur di celah sejuknya gunung Alps? Atau apakah perasaannya melihat bintang tanpa bunyi di langit Artik?

Tak.

Aku tak tahu. Dan aku sentiasa penuh dengan rasa ingin tahu. Satu masa dahulu aku sering membayangkan – bagaimana sejuknya musim sejuk di Eropah? Dan bayangan hawa dingin ini menjadi rindu paling dalam tatkala aku tersepit menjadi tikus yang berkejaran untuk kononnya membina hidup sendiri.

Jadi pengalaman bertemu salji di Stockholm itu aku simpan erat. Ada sesuatu di balik salji-salji itu yang menarik aku ke daerah lain di dalam seluruh pengembaraan ini – yang tidak aku catatkan di dalam buku ini. Bukanlah hawa dingin itu yang penting, atau apakah perasaannya disimbah salji lembut di satu pagi hening tatkala aku berseorangan di tengah kota pujaan Utopis.

Seringkali orang pertanyakan soalan-soalan superfisial seperti ini, seolah-olahnya hidup ini memang plastik dan kita ini ialah badut gemuk yang kerjanya membuncitkan diri untuk menjadi bodoh – lantas tidak memahami dunia seperti adanya.

Malam itu aku mempelajari bahawa perjalanan yang aku lakukan inilah sebenarnya guru-guru yang membimbing aku di setiap lorong dan sudut tatkala aku menghampiri persimpangan. Kawan, berjalan juga – ialah ilmu untuk kita memahami dunia ini seperti sedianya.

Apakah perasaannya berada di atas keretapi Trans-Siberia? Bagaimanakah rasanya memanjat bot penumpang di Dhaka? Apakah yang dijual di pasar pagi di Fez?

Kawan, ratusan ribu buku hakiki (real books) yang kau baca pun; tidak sesekali boleh mengatasi perasaan ini dan kebolehan memahami dunia yang luas!

***

24 Mac tahun 2014, dalam perjalanan mendaki ke Nagarkot, aku sempat singgah di pekan Sankhu bersama ‘guide‘ yang ditugaskan untuk menunjuk arah bersama iaitu Lal Bahadur Tamang. Kami sempat bersarapan ringkas di salah sebuah kedai di pekan ini sebelum meneruskan pendakian melalui Katikele.

Aku juga sempat berkenalan dengan anak kecil, Deepika Chaudary, 11 tahun (5 minit setelah melepasi pekan ini) dan sempat memuat naik gambar bersama anak kecil ini di Facebook beberapa hari kemudiannya. Perbualan kami aku rakam di dalam ‘Menunggang Bas Magik di Kathmandu’, muka surat 28. Hari ini (12 Mei 2015), Nepal dikejutkan dengan gempa bumi kedua dengan skala yang lebih kurang sama dengan kali pertama dahulu. Apakah Lal Bahadur masih hidup? Bagaimana nasib Deepika Chaudary dan keluarganya?

Dalam The Machinist, Trevor kelihatan obsesif membasuh tangan, simptom yang dipanggil ‘obsessive-compulsive hand-washing’. Idea literal ‘blood on the hands’ menjadikan penyakit ini memudahkan penghidapnya memusnahkan diri mereka dengan membasuh tangan, mengeringkan, memeriksa semula, kembali ke sinki dan membasuh semula sehingga kulit tangan tertanggal. Apakah yang menyebabkan semua ini berlaku?

Kerana rasa bersalah yang dalam di alami oleh Trevor kerana telah melanggar lari seorang anak kecil. Ivan, yang menghantui seluruh hidupnya dan disebut-sebut akhirnya oleh Trevor sebagai; “I know who you are,” sebenarnya ialah dirinya sendiri.

And I don’t want to change you
I don’t want to change you
I don’t want to change your mind
I just came across a manger
Where there is no danger
Where love has eyes and is not blind
– Damien Rice, I Don’t Want To Change You

 

(iii)

“Where must we go, we who wander this wasteland, in search of our better selves” The First History Man

Dalam filem Mad Max Fury Road yang baharu saja ditayangkan, ada sebuah watak yang diberi nama ‘Coma-Doof-Warrior’.

Filem ini ialah filem keempat siri Mad Max arahan George Miller. Filem Mad Max yang pertama diterbitkan seawal 1979. Dalam Fury Road, Furiosa dan isteri-isteri Immorten Joe berdepan cabaran menunggang kemanusiaan menuju masa depan. Harapan mereka untuk menemukan ‘the green place’ kemudiannya musnah. Dan tatkala harapan tidak lagi ada, literalnya – kemana lagi mahu mereka pergi?

Aku temukan persoalan seperti ini tatkala berada di Marais, sebuah daerah komuniti Yahudi di tengah kota Paris. Tatkala menemukan Marais itu sendiri di dalam kesesatan, aku kembali mengulang fikir akan seluruh perjalanan yang telah aku tempuhi.

Memang benar tujuan aku mengambara itu selain menemukan advencer di dalam diri, juga ialah untuk mencari dan mengejar kesempurnaan kemanusiaan di tempat yang lain. Malangnya, adakah kesempurnaan kemanusiaan itu boleh ditemukan jauh dari tanah tumpah darah kita sendiri?

Satu lagi fokus di dalam Fury Road ialah hubungan Max dengan kemanusiaan. Dalam fiksyen distopia ini, George Miller mempersoalkan kembali; apa yang menukarkan kita semua menjadi binatang? Mengapa manusia akhirnya hilang sifat kemanusiaan?

Mengapakah kita masih tidak belajar dari sejarah dan asyik membuat kesalahan yang sama berulang-ulang? Setelah runtuhnya Berlin Wall, mengapakah dunia membenarkan dinding-dinding konkrit yang jauh lebih tebal dan tinggi yang memisahkan warga Palestin? Setelah jatuhnya Srebrenica, mengapakah dunia membenarkan Syria dan Rakhine mengalami nasib yang sama?

Tetapi di dalam Fury Road, George Miller menunjukkan kepada kita bahwa untuk mengatasi masalah kemanusiaan ialah dengan melihat ke dalam diri kita sendiri dan melawan nafsu dan seluruh kejahatan diri kita sendiri. Penyelesaian tidak berada di luar, Furiosa tidak boleh selamanya fikir di hujung tasik garam ialah tanah hijau yang diidam-idamkannya. Air dan tumbuhan segar berada di dalam Citadel. Penyelesaian berada di dalam Citadel itu sendiri, seperti mana ditunjukkan oleh Max.

Kita; tidak boleh selamanya berlari dan mencari sesuatu yang sememangnya berada di dalam diri kita sendiri. Satu-satunya cara untuk menemukan diri kita ialah dengan melawan diri kita sendiri. Sejauh mana pun kita berjalan, satu-satunya cara untuk mengekalkan kewarasan dan kemanusiaan ialah dengan berbakti di negara sendiri. Walau aku temukan Gunung Everest di Nepal, Taj Mahal di India ataupun Eiffel Tower di Paris, aku melihat bangsaku sendiri masih mengutip tin kosong di celah tong sampah, gelandangan terbiar dan dibiarkan tidur di kaki lima kedai-kedai di kota, anak-anak pedalaman tidak berseluar dan tidak punya akses dengan buku.

Apakah kerjanya watak ‘Coma-Doof-Warrior’ ini? Watak ini kerjanya memetik gitar berapi di atas lori muzik gergasi yang dipenuhi  dengan pembesar suara dan pemukul gendang. Inilah agen penaik semangat untuk batalion Immorten Joe yang sedang berperang dengan kemanusiaan.

Fungsinya ialah melalaikan batalion perang untuk menjadikan mereka fokus membanteras kemanusiaan. Dalam dunia sebenar, kita juga dicandukan dengan pelbagai perkara. Falsafah, politik, ekonomi, agama dan segala macam ‘Coma-Doof-Warrior’ ditalakan dan dilagukan kepada kepala kita untuk melalaikan kita daripada kemanusiaan yang sebenarnya. Di akhirnya, kita hilang arah dari kemanusiaan ini.

Hilang arah – ialah persoalan fundamental yang kerapkali para pengembara hadapi. Tetapi, adakah kita boleh hilang harapan? Mungkin benar kata Max Rockatansky, untuk seluruh perjalanan yang telah aku tempuhi: “You know hope is a mistake. If you can’t fix what’s broken, you’ll go insane.”

 

21 Mei 2015,
1.08am,
Kuala Lumpur.

Article written by

Please comment with your real name using good manners.

Leave a Reply

Visit Us On FacebookVisit Us On TwitterVisit Us On Google Plus