• Menentang Cinta Taj Mahal

Realiti Universiti dan ‘Primitifnya’ IPG

 

 

Wujud sesuatu yang merunsingkan apabila dua sarjana tempatan ‘menulis’ tentang ‘kompetensi’ universiti di Malaysia baru-baru ini. Pertamanya adalah Prof. A. Murad Merican (Profesor Ilmu Kemanusiaan) Universiti Teknologi Petronas melalui artikel bertajuk ‘Universiti kita ketandusan idea’ tersiar di Utusan Malaysia (4 Oktober 2010); seterusnya disambut pula oleh Prof. Dr. Dzulkifli Abd. Razak (Naib Canselor) USM sendiri, juga di Utusan Malaysia (12 Oktober 2010) dengan tajuk ‘Pendidikan: mencari kebenaran’.

 

Kedua tulisan di atas kemudiannya dikomen oleh saudara Amin Ahmad melalui nota Facebook-nya bertarikh 15 Oktober 2010. Tulisan ini juga adalah respon terhadap ketiga-tiga tulisan tersebut yang menurut saya, perlu dibaca bersama dengan entri dibawah.

 

Universiti dan IPG

 

Sebagai seorang graduan sulung IPG (Institut Pendidikan Guru) Malaysia yang kini berjumlah 27 buah semuanya seluruh negara, wujud keperluan yang mendesak untuk saya menjelaskan betapa perlunya ‘kilang’ yang memproduksikan jaringan guru-guru Malaysia ini untuk berubah dari sisi intelektual dan budaya pemikiran mereka.

 

Betapa kami dulunya menyambut baik usaha kerajaan menaiktaraf maktab-maktab perguruan menjadi Institut Pendidikan Guru (IPG) yang kemudiannya mampu mengeluarkan graduan sendiri dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (sebelumnya di peringkat Diploma sahaja). Namun yang demikian kerapkali saya nyatakan proses penaiktarafan ini jangan hanya bersifat artifisial yakni di peringkat dasar dan penjenamaan semula sahaja.

 

Yang lebih besar dari itu, penaiktarafan tersebut haruslah disertai keinginan dan iltizam Kementerian Pelajaran untuk menyediakan kesemua IPG sekurang-kurangnya berada hampir dengan status universiti di negara ini. Maka timbulnya persoalan; status universiti yang bagaimanakah perlu menjadi penanda aras (benchmark) kepada IPG tersebut?

 

Sehingga lahirnya graduan sulung (majlis konvokesyen sekitar Mac 2010), perubahan besar yang dilalui oleh IPG kebanyakannya hanyalah bersifat fizikal dan terlalu artifisial. Penjenamaan semula ini tidak menggalakkan perubahan budaya  kerja warga kampus IPG dan sikap administrasinya. Mahasiswanya jarang ‘peka’ dengan isu setempat, lagikan pula untuk kita mendengar mereka sensitif dengan isu luar negara; sikap mereka terhadap Palestin misalnya.

 

Berbelas tahun digeluti budaya pembelajaran gaya ‘diploma’, warga pendidik dan staf administrasinya juga gagal keluar dari ‘kepompong selesa’ – ‘playsafe‘. Pernah sekali saya ditegur kerana mengkritik ‘Jawatankuasa Perwakilan Pelajar’ kerana gagal menjadi sentral dalam menangani isu atau sekurangnya ‘independen’, jawapan yang saya terima dari pihak berwajib iaitu Hal Ehwal Pelajar adalah; “ini maktab, bukan universiti…”.

 

Melihat hanya dari sisi ‘gerakan mahasiswanya’ yang lemah sahaja sudah cukup untuk kita nilai di sini bahawa; wujud jurang yang sangat jauh di antara ‘kilang’ guru yakni, pusat pengeluaran guru terbesar di negara ini dengan status universiti tempatan. Adalah sangat menyedihkan melihat perkara ini berlaku kerana IPG sepatutnya menjadi tulang belakang bidang pendidikan, menjadi ruang kepada para pensyarah menjuarai teori pedagogi mahupun penyelidikan dan yang lebih penting sebagaimana menurut Prof. Dr. Dzulkifli, universiti seharusnya menjadi tempat mencari kebenaran!

 

Boleh bawa kenderaan atau tidak?

 

Adalah sesuatu yang sukar saya fahami apabila timbulnya isu seorang pelajar IPG Kampus Ipoh menulis di sebuah akhbar tabloid mengenai kesusah-payahannya kerana tidak dibenarkan membawa kenderaan. Maka hebohlah di laman sosial ‘Facebook‘ abang-abang ‘senior’ yang mengecam pelajar berkenaan kerana didakwa telah memalukan IPG tersebut.

 

Permasalahan utama yang sukar saya fahami adalah mengapa perlu wujud tindakan bersifat ‘kecaman’ terhadap pelajar berkenaan? Soalnya remeh, ya saya juga faham di mana-mana universiti sekalipun di dunia ini kebanyakannya tidak membenarkan ‘freshies‘ membawa kenderaan.

 

Sebaliknya fungsi utama sesebuah institusi pendidikan iaitu ‘mencari kebenaran’ sudah ditenggelami budaya ‘jangan-soal’! Para pelajar sudah tidak dibenarkan untuk menyoal jika gagal menemui kebenaran yang dikehendakinya! Kalaupun insiden ini terpencil atau kecil impaknya, sudah cukup membuktikan bahawa larangan ‘speak-out‘ bukan sahaja dianuti oleh staf administrasi tetapi juga menjadi pegangan para pelajarnya sendiri!

 

Freedom of speech‘ yang menjadi kebanggan mahasiswa mana-mana universiti sekalipun tidak dibudayakan di IPG! Maka kerunsingan yang jauh lebih besar sepatutnya dihalakan oleh para sarjana tempatan terhadap ‘status’ IPG itu sendiri sebagai medium pembentuk para guru di negara ini!

 

Jabatan Falsafah dan Mencari Kebenaran

 

Perkara yang paling menarik dalam tulisan Prof. A. Murad  adalah kerisauannya terhadap ketiadaan Jabatan Falsafah di universiti tempatan. Menurutnya sepuluh universiti terbaik di dunia, semuanya mempunyai Jabatan atau Fakulti Falsafah yang mantap!

 

Selari dengan perkara tersebut, Prof. Dr Dzulkifli kemudiannya menekankan fungsi utama sesebuah universiti adalah mencari kebenaran. Ini dikomen saudara Amin kemudian menambah, Prof. Awang Had Salleh 15 tahun yang lalu pernah menyuarakan dua fungsi klasik universiti iaitu mencari kebenaran serta mempersoal kembali kebenaran yang sudah mantap.

 

Sebab itu apabila memperkatakan tentang falsafah (philein – menyintai; sophos – hikmah; ‘menyintai hikmah’ dalam bahasa Greek) atau menurut Plato ialah ‘kajian terhadap sesuatu yang benar’ atau menurut Aristotle; anak murid Plato ialah ‘kajian tentang zat sesuatu (being as being) serta penyebab utama (first principles)’, dapatlah kita simpulkan betapa pentingnya kaitan mempunyai sebuah ‘asas’ atau ‘foundation‘ iaitu sebuah Jabatan atau Fakulti yang dapat membimbing (guide) para pelajarnya untuk ‘mencari kebenaran’.

 

Malangnya apa yang terjadi di Malaysia, sebaliknya. Selain sistem pendidikan yang sejak dari kecil diorientasikan kepada pencapaian (exam oriented); budaya ini dilegasikan dengan bangga oleh warga universiti melalui KPI (Key Perfomance Index) yang kononnya perlu dipenuhi oleh mereka! Maka wujudlah sebuah kilang yang operatornya (para pensyarah) sibuk memenuhi piawai KPI yang telah disusun atur oleh mandur (Ketua Jabatan); bertentangan dengan fungsi sebuah institusi pendidikan iaitu memberi bimbingan (guidance) kepada para pelajar untuk mencari kebenaran!

 

Kemahiran ‘mencari kebenaran’ inilah yang tidak diajarkan kepada para pelajar di negara kita. Tidak hairan jika mahasiswa tempatan tidak kenal dengan ‘Thus Spoke Zarasthura‘ Nietzche, atau ‘Fenomenologi-Hermeneutik‘ Heidegger, atau ‘Deconstruction‘ Derrida, jauh lagi mengenal ‘Discourse‘ Foucoult dan ‘Le Morele‘ Descartes.

 

Sedangkan penubuhan universiti di Eropah terilham akibat kebanjiran ilmu dari Islam seperti kata Guillaume; “Sarjana dari Eropah melawat Sepanyol Islam untuk mempelajari falsafah, matematik, astronomi dan perubatan. Universiti tertua Eropah banyak berhutang kepada ilmu pengetahuan dari universiti di Arab”.

 

Tetapi sebagai sebuah negara Islam,kita bukan sahaja anti-gerakan mencari kebenaran, sebaliknya menggunapakai teori-teori Barat yang sudah tentu berasal dari ilmu Islam tanpa usul periksa – sudahlah tidak berusaha mencari kebenaran, tidak pula berusaha untuk mempersoal kebenaran yang sudah dianggap benar!

 

Budaya Imitasi dan Sindrom Minda Tertawan

 

Betapa kroniknya sistem pendidikan kita; oleh kerana tidak dibenarkan (digalakkan) bersoal jawab untuk mencari kebenaran atau mempersoal kebenaran, semakin ke hadapan golongan mahasiswa dan ahli akademik universiti akhirnya menghidap penyakit ‘Minda Tertawan’ (captive mind) sebagaimana yang digelar Prof A. Murad.

 

Saya lebih suka menggunapakai perkataan ‘ignorance state‘, iaitu keadaan di mana mahasiswa kita mahupun ahli akademik tidak lagi peduli kepada tujuan utama pendidikan iaitu untuk mencari jalan menyelesaikan masalah dan memperbaiki masalah masyarakat, sebaliknya bermazhabkan teori ‘untung-rugi’ ekonomi.

 

Krisis pemikiran ini menurut Taha Jabir al-Alwani menjadikan kaum Muslimin tidak lebih dari sebuah ternakan (lembu) yang diawasi tuannya (Barat). Mahasiswa sehingga dipersoal jika mengemukakan pendapat sendiri; ‘siapa kamu jika ingin berpendapat sedemikian?’ di dalam tesisnya, malah kajiannya dianggap ‘jahat’ jika tidak disandarkan kepada rujukan sebelumnya. Sedangkan sebuah pengkajian sifatnya bukan harus bersifat deskriptif semata, sebaliknya analisa kritikal juga memainkan peranan yang penting.

 

Maka apa yang terjadi kini adalah budaya ‘imitasi’; mahasiswa lebih cenderung ‘meniru’ dari ‘mempersoal’,  ‘mengambil apa yang ada’ daripada ‘mencari’ serta ‘menurut’ daripada ‘bertanya’.

 

Di penghujungnya, mahasiswa terkurung dan terperuk dengan ‘ke-superior-an’ korpus ilmu Barat yang diterapkan kepadanya, larangan bertanya serta kelemahan dirinya sendiri untuk mencari kebenaran mengakibatkan mindanya tertawan!

 

Ignorance State

 

Kita runsing apabila membaca dua artikel sarjana di atas. Ya, universiti kita sudahlah tidak tersenarai sebagai 200 universiti terbaik, jauh dari itu budayanya juga lansung tidak lansung menggambarkan sebagai sebuah institusi pendidikan yang ikhlas untuk mendidik fungsinya.

 

Tetapi lebih dahsyat dari itu, IPG – sebuah institusi rekaan kerajaan yang kononnya ala-universiti; tempat merekrut para guru dan pendidik yang fungsinya nanti sebagai ‘frontline‘ sistem pendidikan, jauh lebih primitif dari sisi budaya ilmu, penyelidikan dan pemikirannya.

 

Kita akan berdepan krisis modal insan (human capital) tidak lama lagi jika tidak berbincang secara serius tentang masalah ini sekarang. Atau sebagaimana yang saya nyatakan di atas, kita memang sudah dijangkiti penyakit ‘ignorance‘?

 

 

 

 

Article written by

3 Responses

  1. amyr
    amyr at | | Reply

    well said saudara

  2. Syafiq
    Syafiq at | | Reply

    Sangat setuju. Semuanya yes man sahaja dgn alasan kamu dibayar untuk belajar di sini

  3. mee
    mee at | | Reply

    yup 100% true……pelajar ibarat hilang hak utuk bersuara…even JPP tidak ada hak untuk bersuara……

Please comment with your real name using good manners.

Leave a Reply

Visit Us On FacebookVisit Us On TwitterVisit Us On Google Plus