• Menentang Cinta Taj Mahal

Hegemoni; Theatre of Cruelty?

 

 

 

 

Dasar kepada falsafah Aristotle adalah bermatlamatkan untuk memahami mengapa setiap sesuatu itu sebagaimana yang kita temui, mengapa ia menjadi begini, atau mengapa ia menjadi lebih baik sebegitu sebagaimana adanya. Kerana itu Dante menggelarkan Aristotle ‘yang paling arif di kalangan yang mengetahui’ sejak zaman Aquinas sehingga kepada Galileo.

 

Soalan saya kepada krew produksi ‘Hegemoni’, mengapa memilih kata Hegemoni? mengapa tidak memilih perkataan yang lain yang lebih layak seadanya?

 

 

1. Pertama kali diajak oleh Angah Silotape untuk ke Stor DBP menonton Hegemoni arahan Aloy Paradoks, saya mengharapkan teater ini berbicara tentang politik. Dan memang silap saya kerana tidak membuat kerja rumah, harapan saya meleset sama sekali.

 

 

2. Kejayaan terbesar Hegemoni pada saya adalah keupayaan pengarah dan pelakonnya menggunapakai kekuatan skrip dan gerak laku pelakon semata-mata untuk menyampaikan mesej. Set yang minimal tidak memberi masalah kepada mereka kerana keupayaan mereka mengenalpasti kekuatan utama mereka iaitu ‘street discourse‘; ‘wacana jalanan’ hanya melalui konsep mudah verbal dan visual.

 

 

3. Dan perlu diingat, set minimalis ini sengaja dipilih demikian untuk membebaskan mereka daripada menjadi terlalu ‘mainstream‘. Anti-sureal ini selain membangkitkan ghairah penonton kerana membebaskan mereka daripada kebiasaan, juga telah menjadi aset penting kerana secara tidak lansung telah mengarahkan fokus penonton kepada satu jalur laluan sahaja iaitu penyebaran idea secara verbal.

 

 

4. Teknik ini kalaupun bukan trend baharu, telah menjadi pilihan beberapa pengarah kebelakangan ini sebagaimana yang telah saya saksikan di dalam Kopitian Ghadir arahan Faisal Tehrani. Di dalam Kopitian Ghadir, Faisal Tehrani mencabar audien untuk bersetuju dengannya dalam konsep yang baharu di alam budaya Melayu iaitu ‘Ghadir Kum’ tetapi di dalam Hegemoni, audien dicabar untuk merasai kesengsaraan bangsa Melayu itu sendiri – sesuatu yang lebih dekat di dalam diri bangsa itu sendiri saya kira.

 

 

5. Apa yang boleh saya kesan di dalam tema ‘Dadah’ Hegemoni adalah pengaruh Artaud (penulis ‘The Theatre and Its Double‘ 1938, meninggal 1948 di Paris – pelopor ‘Theatre of Cruelty‘) yang sangat jelas. Penonton dipaksa untuk mengenali alam yang kejam dan kekejaman itu terdapat di dalam dirinya sendiri!

 

 

6. Menurut Chambers konsep Artaud memerlukan audien untuk memecahkan lapisan tipis kontigensi yang membolehkan kita untuk berasa selamat sebagaimana tulisan ‘Nausea’ oleh Sartre yang juga terbit sekitar 1938. Teater sebegini menurut Artaud seperti di dalam manifestonya; “dan, pada tahap persembahan, bukanlah kekejaman yang kita amalkan di antara seorang dengan seorang yang lain, dengan memancung badan seseorang, mengukir anatomi sendiri, tetapi yang lebih dahsyat dan lebih kejam adalah tentang perkara yang menentang kita. Kita tidak bebas. Dan langit masih boleh menghempap kepala kita. Dan teater dicipta terutamanya untuk mengajar kita itu!”

 

 

7. Sebagaimana kata Charles Marowitz; perkara yang paling kejam dalam semua amalan adalah pendedahan pemikiran, hati, kebenaran dan semua yang menyakitkan yang tidak pernah berakhir di sebalik realiti sosial yang berkaitan dengan krisis psikologi apabila ia ingin menjadi jujur dan kejahatan politik apabila ia mahu menjadi lebih bertanggungjawab tetapi jarang-jarang kalaupun ia pernah berhadapan dengan kedahsyatan eksistensial di sebalik semua lapisan psikologi dan sosial (British Theatre, Tulane Drama Review)

 

 

8. Kerana itu menurut saya tema ‘Dadah’ yang dibawa Aloy walau sedikit out-trend kini tetapi masih relevan dan sesuai kerana proses untuk merungkaikan permasalahan bangsa di jalanan sebegini bukan perkara yang mudah. Tema ini nampak sedikit picisan di zaman neo-liberalisasi dan ultra-teknologi tetapi masih menuntut penyelesaian yang mana, jika dinilai secara jujur akan kelihatan sisi-sisi hodoh bangsa dalam zaman maklumat ini.

 

 

9. Kekejaman utama Aloy di dalam teater ini selain setnya yang minimalis adalah keupayaannya untuk menyoal bangsanya sendiri dengan jujur tentang ketidakbebasan kita dari kekejaman yang sedang membelenggu! Dan perkara yang lebih dahsyat adalah teknik wacana yang dipaksakan oleh Aloy kepada audien untuk menghadam dan mencanai setiap patah kata dan bait dari skrip untuk diproses di dalam otak sebelum ditafsir – menuntut setiap seorang dari audien mempunyai stamina pemikiran yang mencukupi untuk mengelakkan audiennya bosan!

 

 

10. Adalah sesuatu yang membanggakan anak muda seperti Aloy berani untuk bereksperimen dengan teknik dan mengeksplorasi setiap sudut emosi yang boleh dimainkan untuk mengelakkan audien terperangkap di dalam ideanya yang besar lantas menjadi bosan.

 

 

11. Saya juga fikir trilogi Hegemoni yang memuatkan 3 kisah di dalam satu pementasan bersikap anti-klimaks yang mana, sekali lagi mencerminkan sikap anti-establishment di dalam teater ini, memanfaatkan secara total keberadaan kegelapan yang dimiliki oleh Stor DBP untuk menggambarkan kelainan. Ya, audien membayar bukan untuk bergelap atau mendengar drama radio, tetapi keberanian mereka untuk bermain dengan kegelapan, selain sekali lagi memaksa audien untuk melihat di dalam dirinya sendiri dan merasai sendiri pengalaman yang ingin dibawa oleh mereka, harus dipuji.

 

 

12. Bentuk-bentuk teater eksperimental baharu sebegini yang secara layaknya saya kelaskan amatur tetapi memberansangkan, jalanan dan kelihatan sedikit tertindas adalah sebahagian dari produk-produk budaya yang diperlukan oleh negara.

 

 

13. Dalam keadaan politik dan nuansa figura sosial yang menyakitkan, kumpulan anak-anak teater baharu ini patut diberi perhatian untuk meneruskan konsep teater jalanan pseudo-eksperimental mereka kerana kehadiran mereka sangat diperlukan untuk mengimbangi kesan pasaran bebas terhadap produk-produk budaya yang semakin mahal.

 

 

14. Saya tidak mempunyai masalah dengan tema mereka; walau ramai yang mengadu bahawa tema Dadah tidak menarik lagi untuk diperdebatkan. Saya juga tidak mempunyai masalah dengan gimik ‘gelap’ yang mereka hadirkan, walau ada suara yang mengadu audien membayar tiket untuk melihat visual.

 

 

15. Walaubagaimanapun saya sedikit terganggu dengan beberapa pelakuan yang sepatutnya boleh dielakkan. Saya percaya bahawa seni, budaya dan sastera sangatlah abstrak untuk difahami atau di hayati. Namun dalam budaya bangsa yang menekankan ciri-ciri tata susila dan kesopanan, aksi membuka baju dan berpelukan adalah agen anti-budaya yang sebenarnya dibawa masuk dari Barat. Tuduhlah saya ortodoks atau tradisional sekalipun, jika anda percaya kepada kelansungan seni dan budaya, anda harus berpegang kepada akar budi dan daya itu terlebih dahulu.

 

 

16. Saya bukan anti-realis, saya hanyalah seorang peminat budaya yang percaya bahawa seni dan budaya tertegak kerana sejarah. Di dalam seni, bebas bukan bermakna kita berlepas diri dari Tuhan bukan?

 

Article written by

Please comment with your real name using good manners.

Leave a Reply

Visit Us On FacebookVisit Us On TwitterVisit Us On Google Plus